Jan 22, 2011

Jenaka Takut Anak Tak Kahwin

Keras?????......Terpegang.........????????

"Pada zaman dahulu, ada seorang puteri yang cantik rupawan. Namanya
Puteri Sheila on 7Eleven. Sejak lahir lagi puteri ini telah terkena sumpahan.
Apa je menda yang dipegang oleh puteri akan cair.

Oleh sebab tu, semua lelaki tak mahu dekat dengan puteri sebab takut, kalau puteri tu terpegang mereka maka meraka akan cair jugak.

Maka musykil la Ayahanda nye kerana alamat tak kawin la puterinya itu. Maka, dengan nasihat memanda perdana menteri,Maharaja pun membawa puteri berjumpa dengan seorang bomoh untuk berubat.

Mengikut kata bomoh tersebut, puteri akan terlepas dari sumpahan jika
puteri dapat memegang sesuatu yang tak kan cair. Tapi bomoh itu sendiri pun tak
tau apakah benda tersebut.

Atas cadangan memanda perdana menteri, Maharaja telah mengistiharkan bahawa barang siapa lelaki yang dapat membawa sesuatu, yang apabila puterinya pegang tak cair, lelaki itulah yang akan kawin dengan puterinya itu.


Maka pada hari itu, berduyun-duyun lah lelaki datang membawa benda
masing-masing dengan harapan dapat menjadi menantu raja. Kemudian,
pertandingan pun berlangsung..... Muncul lah lelaki yang pertama,

Maharaja: Ha, apa benda yang kau bawa tu?

Lelaki#1 : Hamba membawa batang logam Titanium. Logam inilah yang paling
keras dalam dunia. Pada zaman akan datang, logam ini menjadi batang
golf, bateri dan kapal terbang.

Maharaja : Ok, biar puteri Beta pegang benda itu.

Lelaki#1 : Silakan....

Maka puteri itu pun pegang la logam Titanium itu. Ahhhhhh Cair nampaknye
logam itu. Kecewa lah lelaki itu, Maharaja dan tuan puteri...

Muncullah lelaki ke-2.....

Maharaja: Ha kamu! Apa yang kamu bawa tu?

Lelaki#2: Hamba membawa batu berlian. Menda ini lah yang paling keras
dalam dunia. Pada masa akan datang, menda ini bukan saja menjadi perhiasan
malah digunakan untuk memotong besi dan digunakan untuk menggali minyak di
dasar lautan.

Maharaja: Kalau begitu, biar puteri Beta mencubanya.

Lelaki#2: Silakan.....

Maka puteri itu pun memegang le berlian tersebut. Ahhhhhhhh Cair jugak
berlian itu nampaknya. Kecewa la lelaki itu, maharaja dan puteri.

Seterusnya, lelaki-lelaki lain pun mencuba juga tapi malangnya semua
benda yang dipegang oleh puteri tetap cair hendaknya... Kemudian muncul lah
lelaki yang terakhir. Eh!!Dia datang berlenggang je tanpa membawa apa-apa
pun!

Maharaja: Hey Kamu! Apa yang kamu bawa? Kenapa datang berlenggang je?

Lelaki: Patik ada membawa benda tuanku. Tapi benda hamba tu ada dalam
poket hamba ini.

Maharaja: Kalau begitu, keluarkanlah benda kamu tu.Biar puteri Beta cuba
memegangnya.

Lelaki: Tak boleh tuanku. Kalau puteri nak memegangnya,seluklah dalam
poket hamba ini...

Maharaja: Hmmmm.... Kalau begitu, baiklah!

Maka terpaksalah puteri itu menyeluk dalam poket lelaki itu.
Puteri teragak-agak sebab puteri tak tau apa yang ada dalam poket lelaki itu.

Kemudian puteri terpegang sesuatu...

Mukanya merah menahan malu.
Lelaki itu hanya tersenyum saja.

Tiba-tiba puteri menarik tangannya kembali. Puteri berlalu dari situ kerana malu.

Maharaja hairan... Maharaja tanya
puterinya

Maharaja: Anakanda dapat pegang sesuatu?

Puteri: Dapat....

Maharaja: Benda tu cair?

Puteri: Tak....

Maharaja: Baiklah, dengan ini Beta istiharkan lelaki ini menjadi menantu
Beta!

Lelaki: Hehehehehehehehehehehe.......

Tapi..... Apakah yang puteri itu pegang? Kenapa lelaki itu ketawa? Dan
kenapa benda tu tak cair? Apakah yang korang rasa puteri itu telah
Pegang?

Apa yang korang terlintas dalam kepala korang haaaaa?
Hehehehehehehehehe.....


(Sila scroll down...........)













BENDA ITU IALAH------ COKLAT M&M
CAIR DIMULUT, TIDAK DITANGAN!
KORANG INGAT APA? OTAK TU BIAR BETUL SIKIT AAAAA...TAK SESUAIII TAU
KORANG

HEHEHEHEHEHEHEHEHEHEHEHEHEEHEH "

Sebab wanita lebih cepat nampak TUA dan GEMUK

Ada segelintir kaum suami mudah mencari perempuan lain kerana menganggap isteri mereka sudah tidak cantik, nampak tua, gemuk.. Tapi tahukan anda semua wahai kaum suami sebab-sebab yang menjadikan para wanita khususnya isteri & ibu cepat nampak tidak menarik di mata anda?

1. Tahukah anda, jika kita makan dengan perlahan dan mengunyah makanan sehingga benar2 hancur, itu akan membantu proses penghadaman kita, sekaligus mengelakkan kita gemuk.. tetapi kasihan kaum ibu ni, terpaksa makan laju2, telan terus tanpa sempat dikunyah kerana nak memujuk anaknya yang menangis. Tapi si suami.. layan jer sambung makan, buat2 xdengar anaknya menangis. So, wanita pun mudah jadi gemuk sebab makanan x sempat nak hadam betul2.

2. Wanita juga mudah gemuk kerana sifat mereka yang tidak suka membazir. Makanan yang tidak habis dimakan oleh anaknya, maka dialah yg akan menghabiskannya pulak. Sayang katanya... takut membazir. Membazir tukan amalan syaitan. Si suami pulak dengan riaknya mengatakan "kau ni kuat betul makan!"

3. Bila anak menangis tengah malam nak minum susu, bapaknya akan tido mati terus.kalau yang dengar pun buat2 tido lena sbb malas nak bangun, malas nak ganggu tido nya.wanita lah yang dalam semalam, berapa puluh kali terpaksa bangun membuat susu utk anak. Bila x cukup tido, mulalah muka nampak letih dan cepat nampak tua. Kedut2 pun mula wujud. Masa tu guna Total Effect ker, aper ker... xkan nak hilangnya. Petua utk cantik kan ada dua yang penting, minum air banyak & TIDUR SECUKUPNYA.

4. Dan bagi wanita yang berkerjaya, sudahlah penat bekerja utk membantu menambah pendapatan keluarga, bila balik rumah, semuanya dialah yang kena uruskan. Dengan perangai anak2, perangai bapaknya... nak itu, nak ini.. So, wanita pun membebel, marah2... dan bila marah2, banyak leter, so cepatlah jadi tua..

Kesimpulannya. ..wanita cepat tua & cepat gemuk adalah disebabkan LELAKI atau lebih tepat lagi SUAMI.. Oleh itu, hargailah segala pengorbanan isteri anda. Mungkin sekiranya sehari sahaja isteri anda tiada, dan anda perlu memikul tanggungjawab dia sementara, anda mungkin tidak mampu melakukan seperti dia..

Jan 21, 2011

Soya kurangkan risiko kanser

Oleh ZUHAYATI YAZID

APABILA menyebut 'kanser', pesakit pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan seperti kemoterapi atau radioterapi.

Lebih-lebih lagi, penyakit itu membawa perubahan besar gaya hidup pesakit dan juga memberikan kesan lain termasuk perubahan penampilan, emosi yang tidak menentu dan bebanan kewangan.

Kini, dengan ledakan teknologi moden dan pengesan awal terhadap pembunuh nombor satu wanita itu mampu mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Malah bukan lagi rahsia, melalui pemakanan yang berasaskan soya ia mampu mengurangkan risiko terjadinya kanser payu dara di kalangan wanita.

Perkara terbukti apabila satu kajian secara klinikal telah dilakukan oleh Yayasan Penyelidikan Kesihatan Awam Tokyo, di bawah Kumpulan Penyelidikan Bakteria Asid Laktik dan Kanser Payu Dara .

Penyelidikan dilakukan oleh pensyarah di Jabatan Pembedahan, Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Masakazu Toi bersama seorang pensyarah dari Jabatan Biostatistik di universiti sama, Dr. Yasuo Ohashi. Mereka mendapati pengambilan soya dan juga pengambilan minuman yang mengandungi bakteria Strain Shirota iaitu minuman susu kultur, Yakult, secara tetap dan berterusan mampu mengurangkan risiko yang boleh membawa kepada kanser payu dara.

Malah, dalam kajian yang dilakukan oleh penyelidik ini mendapati wanita yang mengambil makanan berasaskan soya dan minuman susu kultur dilihat kurang berpotensi untuk di jangkiti dengan kanser payu dara.

Kajian itu mendapati pengambilan secara tetap setiap hari produk yang mengandungi bakteria Lactobacilus casei Shirota (LcS) semenjak usia remaja mampu mengurangkan risiko seseorang wanita itu terkena kanser payu dara.

''Ini terbukti kerana komponen di dalam makanan yang berasaskan soya dan LcS mempunyai fungsi yang boleh melindungi daripada kejadian kanser payu dara dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya,'' ujar Dr. Toi semasa membentangkan kertas kerja di Simposium kanser payu dara di San Antonio, Amerika Syarikat Disember lalu.

Beliau berkata, kajian itu mengkaji hubungkait antara pengambilan minuman yang mengandungi LcS dan makanan yang berasaskan soya dengan penyebab kanser payu dara.

Bakteria yang dinamakan (LcS) itu dapat mengawal pertumbuhan bakteria perosak dalam usus dan sekali gus mengatasi masalah kesihatan di kalangan mereka yang mengambilnya.

Beliau menjelaskan, kesan perlindungan tersebut mungkin disebabkan oleh kesan bakteria Strain Shirota ke atas mikroflora usus yang telah membantu penghadaman isoflavon soya yang berkaitan rapat dengan pengurangan risiko kanser payu dara.

''Strain Shirota juga mampu meningkatkan sistem imunisasi semulajadi tubuh khususnya aktiviti NK yang boleh menjejaskan kesan perlindungan," katanya.

Tegasnya, dalam kajian itu seramai 355 pesakit berumur 40 hingga 55 tahun yang menjalani pembedahan kanser payu dara dari tempoh Oktober 2007 hingga Mac 2009 dan 710 orang yang sihat yang tinggal di kawasan yang sama dan berumur sebaya dijadikan objek dalam kajian tersebut.

''Mereka dikaji berdasarkan kepada diet dan gaya hidup sejak masih remaja lagi dan semasa dewasa.

''Hasilnya, didapati sebanyak 30 peratus risiko kanser payu dara dapat dikurangkan bagi mereka yang mengambil minuman yang mengandungi bakteria asid laktik iaitu susu berkultur Yakult sebanyak empat kali atau lebih seminggu, berbanding dengan mereka yang mengambil tiga kali atau kurang dalam seminggu," kata Dr. Toi.

Sumber: Utusan Malaysia 18/1/2011

Jalani kehidupan seks secara sihat

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

SEBAGAI pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.

Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.

Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.

Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.

Tanda pertama - Perhubungan anda sihat

Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.

Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.

Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur

Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.

Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.

Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.

Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.

Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks

Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?

Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.

Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.

Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan

Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.

Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.

Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu

Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.

Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.

Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.

Sumber: Utusan Malaysia 18/01/2011

Dunia Lelaki: 10 Hobi Ideal Lelaki

Tonjol potensi diri, isi masa lapang dengan kegiatan berfaedah

ASYIK memberi tumpuan pada urusan kerja, tiba masanya jejaka melakukan perubahan dalam hidup. Apa kata teroka aktiviti baru yang mampu mengisi masa selain meningkatkan potensi diri. Seperti aktiviti bersukan, hobi juga sebenarnya mampu membezakan jejaka dengan individu lain.

Jejaka yang mempunyai hobi pasti memiliki karektor tersendiri, lebih sensitif serta dilihat lebih berdisiplin dan tekun berbanding individu lain yang mungkin tidak mempunyai sebarang minat.

Dengan adanya hobi, lelaki pasti bersemangat dalam meniti hari kerana menemui cinta baru. Bertolak dari sini, lelaki juga mampu melihat kehidupan dengan perspektif berbeza malah mendorong mereka menjadi insan lebih baik dan produktif kerana merasakan kehidupan lebih sempurna. Antara pilihan hobi terbaik yang dicadangkan untuk Lelaki ialah

1. Mentor

Ini mungkin hobi terbaik! Tidak salahnya lelaki bertindak sebagai mentor dengan memberi khidmat bimbingan kepada golongan muda. Tidak perlu mengeluarkan sumber kewangan yang banyak, sumbangan boleh dibuat secara individu atau pertubuhan sukarela di tempat anda. Inilah masanya untuk anda menyumbang sesuatu yang bernilai kepada masyarakat.

2. Tubuhkan kelab hobi

Banyak cara boleh dilakukan untuk membentuk kenalan baru melalui hobi. Mahu berbeza daripada penubuhan kelab kereta atau motosikal yang sudah terlalu umum, apa kata anda tubuhkan kelab hobi jenama pakaian, koleksi kasut atau jam tangan klasik sebagai permulaan. Mana tahu, anda beroleh laba kerana dapat menjual koleksi barangan anda kepada peminat lain.

3. Kumpul lukisan

Walaupun terpaksa berbelanja sebagai modal membeli lukisan, siapa tahu hobi ini mampu membuka peluang perniagaan kepada jejaka kreatif. Mana tidaknya, selain menjadikan lukisan sebagai pelengkap hiasan rumah, hobi ini boleh menjadi satu perniagaan tambahan - lebih-lebih lagi jika anda mengumpul lukisan pelukis tersohor. Semakin meningkat usia koleksi lukisan anda, lebih bertambah nilainya!

4. Jadi jurulatih

Anda berbakat dalam sukan? Mungkin sukan renang atau futsal, inilah masanya untuk mengembangkan hobi ini sebagai sumber pendapatan baru sebagai jurulatih. Selain dapat berkongsi pengalaman dalam sesuatu acara sukan, siapa sangka bakat terpendam anda mampu melahirkan jagoan baru?

5. Memancing

Biarpun hobi ini dianggap normal, anda masih boleh mempelbagaikan aktiviti termasuk mengadakan rombongan memancing di kawasan yang jarang diteroka sebelum ini sebagai suatu kelainan. Anjurkan pula acara sampingan bagi menambah keseronokan.

6. Beli belah di laman maya

Siapa kata perempuan saja kaki shopping, lelaki boleh melakukannya di laman maya yang menawarkan 1,001 pilihan barangan secara online. Lihat saja beberapa laman web seperti www.mudah.my dan lelong.com.my yang boleh menjadi alternatif membeli belah dalam talian. Siapa sangka anda berpeluang memiliki jam tangan Tag Heuer atau kasut Louis Vuitton pada harga murah!

7. Bikin kereta

Hobi paling digemari jejaka! Mengapa tidak, lelaki sanggup meluangkan lebih banyak masa bersama kereta termasuk menambah aksesori kenderaan hingga sanggup berlapar. Pantang trend terkini, ada saja yang ingin diganti atau ditambah termasuk sport rim, pelekat kereta, lampu dan dan alas karpet kenderaan sekalipun.

8. Muat turun filem

Inilah dikatakan gaya hidup zaman moden. Lelaki urban tidak lagi cenderung menonton filem terkini di pasaran atau membeli DVD. Ini kerana dengan teknologi maya sedia ada, mereka mampu memuat turun filem kegemaran. Lebih murah dan mudah, aktiviti ini menambahkan lagi koleksi peribadi mereka.

9. Sukan Paintball

Biarpun sakit dan mendebarkan, aktiviti sukan paintball terus hangat sebagai sukan ekstrem kegemaran jejaka. Setiap minggu, aktiviti inilah yang dilakukan. Sukan ini juga mampu meredakan tekanan kerja serta membentuk pemikiran strategik anda.

10. Blog

Terlalu banyak idea? Apa kata ilhamkan kreativiti yang anda miliki dengan menubuhkan satu blog khas untuk anda curahkan apa saja perkara yang difikirkan wajar untuk dikongsi bersama orang lain. Tidak kiralah blog berkisar hobi, idea menjana pendapatan, kongsi pengalaman atau apa saja bahan boleh dipaparkan melalui laman blog. Anda pasti mempunyai peminat kelak!

Oleh Fairuz Zaidan
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Isteriku, Apakah Itu Masih Cinta?

Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.” Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki.

Lihat sahaja peniaga yang ramah mesra dan sentiasa tersenyum melayan pelanggan, kedainya akan sering dikunjungi, produknya akan laku, jualannya sentiasa laris.

Kita tidak perlu tahu mekanisme saintifik tentang aura atau gelombang elektromagnetik untuk memahami semua ini. Atau arif dengan tafsir seribu firman atau al hadis untuk mengamalkannya. Hanya jadilah orang yang baik dan berilah kebaikan. Insya-Allah, kita akan mendapat kebaikan. Allah itu Maha Baik, DIA tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang baik. Setiap saat dan ketika tanya diri kita, apakah hari ini, ketika ini aku sedang menjadi atau sedang berusaha menjadi orang baik yang sentiasa ingin memberi kebaikan…

Tidak kira sejahat mana orang yang kita hadapi atau seburuk mana keadaan yang sedang kita alami, tetapi jangan sekali-kali korbankan ‘kebaikan’ diri kita. Biar kalah, tetapi jangan mengalah dengan kejahatan. Jangan ambil kejahatan menjadi ‘guru’ kita. Maksudnya, cubalah beri kebaikan walaupun sering dibalas dengan kejahatan. Tetapi sekiranya kita kecewa, dan mula membalas kejahatan itu dengan kejahatan yang sama atau yang melebihinya … takziah, kerana pada waktu itu kejahatan telah menjadi guru dalam kehidupan kita.

Dalam rumah tangga pun begitu juga. Jadilah pasangan yang baik. Insya-Allah kita akan menarik segala kebaikan untuk diri kita dan seluruh ahli keluarga. Baik tutur kata, manis senyuman dan mudah memberi kebaikan, itulah nanti akan menawan hati pasangan kita. Itulah hukum daya tarikan – law of attraction – yang kebelakangan ini kerap diperbincangkan dalam program latihan dan motivasi. Apakah yang dimaksudkan dengan law of attraction itu?

Pada diri manusia ada daya tarikan yang saling berhubung dengan daya tarikan manusia lain. Maksudnya, jika kita positif dan orang lain juga positif, maka kita akan mudah tertarik dan berhubung dengann harmoni. Pepatah lama mengatakan, burung yang sama bulu kepak dan warnanya akan terbang sekawan. Keceriaan kita akan menarik orang yang ceria untuk bersama kita. Keceriaan itu mudah ‘berjangkit’. Orang yang ceria sering dilingkungi oleh individu, situasi dan keadaan yang ceria juga.

Suasana yang semacam itulah yang akan membahagiakan cinta dalam rumah tangga. Bila kita ceria, fikiran, tindakan, perasaan dan kata-kata kita juga akan turut ceria. Percayakah anda kalau dikatakan untuk mudah belajar, bekerja dan melakukan apa jua aktiviti dengan lebih baik dan berkualiti maka keceriaan itulah yang menjadi syaratnya? Ada hormon endroomorphin yang akan dirembeskan dalam tubuh orang yang ceria. Hormon yang akan memberi rasa tenang, seronok dan gembira. Inilah yang ditegaskan oleh pakar-pakar NLP.

Sebaliknya, orang yang negatif – asyik marah-marah dan merungut, hormon kortisol pula yang akan akan dirembeskan. Hormon ini akan menurunkan darjah keceriaan dan individu itu akan menjadi pemurung, pemarah dan perungus. Orang yang asyik marah-marah, merungut, mengeluh dan membebel akan ‘meletihkan’ pasangannya Ingatlah tidak ada siapapun suka orang yang pemurung atau perampus.

Dia akan menghantar ‘gelombang’ yang negatif dan sebagai balasannya dia juga.akan menerima reaksi yang negatif. Hukum daya tarikan pun berlaku tetapi kali ini ke arah yang sebaliknya. Gelombang negatif ini akan menghakiskan rasa ceria dan gembira dan lambat laun akan turut meranapkan perasaan cinta. Ingat, cinta itu umpama pohon, jika tidak dibajai ia akan layu dan mungkin akan mati. Salah satu baja untuk cinta ialah memberi perasaan gembira kepada orang yang kita cintai.

Cinta tidak dapat diraih dengan ugutan dan ancaman. Ia soal hati yang memberi dan menerima dengan rela. Cinta tidak boleh dipaksa. Gelombang cinta bergerak dalam susunan rasa indah bagaikan satu simponi pada satu gubahan ‘muzik’ yang sinergi dan harmoni. Mainkan muzik cinta itu… ia akan datang dengan senyuman, sentuhan dan pandangan mata yang penuh indah dan berwarna-warni. Sungguh indah!

Bila suami hendak pulang ke rumah, sediakanlah set minda (mind set) yang betul sebelum masuk ke rumah lagi. Niatkan dalam hati ingin menceriakan hati isteri yang di rumah. Betapa besar sekalipun masalah kita di permusafiran atau di tempat kerja, leraikanlah dahulu. Jangan hanya memikirkan masalahnya sahaja yang besar, masalah isteri di rumah pun adakalanya lebih besar dan mencabar daripada masalah suami di luar rumah.

Begitu juga isteri di rumah, menjelang kepulangan suami, tenangkan hati, katakana kepada diri sendiri, “suami ku akan pulang. Aku akan menceriakan kepulangannya dengan memahami, simpati dan empati terhadap segala masalahnya.” Orang yang hanya merasakan bahawa masalahnya sahaja yang besar, peranannya sahaja yang penting dan bebannya sahaja yang berat… sebenarnya adalah orang yang ego.

Aneh sekali pengaturan Allah – kadangkala, cara menyelesaikan masalah kita ialah dengan menyelesaikan masalah orang lain. Kaedah meringankan beban sendiri ialah dengan berkongsi menanggung beban orang lain. Dan kerap kali doa kita akan dimakbulkan bila kita mendoakan orang lain. Jangan nafikan hakikat ini. Sebaliknya, praktikanlah. Lakukan kepada orang yang terhampir dengan kita, siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita?

Sayangnya, set minda yang betul kekadang tercalar oleh sikap curiga. Rasa hati yang simpati dan keinginan memahami dimusnahkan oleh prasangka. Bimbang kalau kebaikan kita dieksploitasi, ketulusan kita dimanupulasi, maka kita enggan menghantar gelombang yang positif. Syaitan mencelah dengan tiupan kata-kata, “ engkau ditipu. Kejujuranmu tidak akan dihargai. Apa gunanya menabur budi kalau nanti engkau akan dipersia?”

Ada juga yang tidak sabar untuk mendapat hasil atau balasan yang cepat. Mereka yang hanya menyiram tidak sampai semusim tetapi mengharap dapat memetik buah dengan segera. Lupakah kita bahawa membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata? Kalau hari ini kita menanam benih, kita sirami dan bajainya… apa yang kita akan dapat pada hari esok? Ya, hanya benih yang basah. Bukan bunga, apatah lagi buah. Maka begitulah menanam pohon cinta, salah sekali kalau kita mengharap bunga atau buahnya akan terhasil dengan segera. Berilah masa, berilah peluang dan bukalah ruang untuk pasanganmu berubah.

Petanda minda yang positif dan betul banyak sekali. Cukup kalau di sini kalau dinyatakan hanya dua. Dua yang sangat penting. Sematkan dalam hati dan praktikkanlah dengan hati, lisan dan perbuatan. Pertama, orang yang positif akan dapat melihat sisi yang positif pada diri pasangannya. Who you are determine how you see – siapa diri kamu menentukan bagaimana kamu melihat. Ya, isteri yang positif akan dapat melihat ciri, sifat dan aksi positif pada diri suaminya dan begitulah juga sebaliknya.

Masakan tidak ada langsung sisi positif pada pasangan kita? Jika demikian, mengapa kita memilihnya sebagai pasangan hidup ketika bernikah dahulu? Jadi, cuba positifkan minda kita dahulu nescaya kita akan nampak kebaikan pada pasangan kita. Ya, keburukannya ada, tetapi kebaikannya juga ada. Jadi apa salahnya kalau kita tumpu, hargai, pupuk dan bajai kebaikan itu agar dapat bertahan dan meningkat?

Manusia suka dihargai, disokong dan dianggap wira. Lalu jadikanlah suami kita sebagai wira. Sokong impiannya, bantu cita-citanya dan pulihkan kekecewaannya. Jadikanlah isteri kita sabagai wirawati yang didorong cita-cita, impian dan harapannya. Ketika suami pulang dengan wajah lesu, bimbang dan gentar dengan tribulasi di tempat kerjanya, isteri di rumah tetap menjadi penyokong yang setia. Tidak mengapa jika tidak punya buah fikiran, cukup hanya dengan kata-kata belaian dan sokongan. Buktikan dengan bahawa tubuh mu, bahawa kau adalah benteng dalam hidupnya!

Isteri di rumah kekadang bukan mengharapkan layanan bagaikan ratu atau permaisuri tetapi cukup sekadar suaminya mendengar dengan penuh penghayatan dan memberi penghargaan yang sarat dengan kejujuran. Mata itu jendela hati, maka pandanglah wajah isteri dengan rasa sayang yang tidak berbelah bagi, insya-Allah, pandangan itu akan meresap ke dalam hati menjadi penawar yang sangat mujarab pada keletihan, kelesuan dan kejemuan memikul tugas yang sama sepanjang hari.

Kita hanya boleh memberi kebaikan jika kita menjadi orang yang baik. Jika kita tidak mampu lagi menghulurkan kebaikan, insaflah bahawa kualiti diri kita sebagai insan yang baik sudah boleh dipertikaikan. Walau apapun kesusahan atau beratnya penanggungan kita, itu bukan alasan untuk menggadaikan kualiti hati yang baik. Aku tertekan, aku mesti marah. Aku kecewa, aku mesti mengeluh. Aku letih, aku mesti merintih… Itulah suara-suara hati yang sudah terkena tipuan syaitan dan bujukan nafsu.

Yang kedua, orang yang positif akan fokus kepada penyelesaian bukan pemasalahan. Siapapun akan myudah nampak apa masalahnya, tetapi hanya orang yang positif akan nampak penyuelesaiannya. Orang yang positif akan ‘menyerang’ punca masalah bukan orang yang bermasalah. Maka begitulah isteri yang positif akan memberi penyelesaian kepada masalah-masalah rumah tangga atau masalah yang di hadapi oleh suaminya.

Ummu Salamah pernah memberi buah fikirannya kepada Rasulullah saw dalam menghadapi ‘rasa terkejut’ para sahabat baginda sehingga tidak melakukan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah apabila mereka terhalang untuk mengerjakan haji ke Makkah hingga termetrainya perjanjian Hudaibiyah.

Begitu juga Ummu Sulaim yang menyembunyikan berita kematian anaknya demi memberikan kerehatan kepada suaminya yang baru pulang dari musafir sehingga dipuji serta didoakan oleh Rasulullah SAW? Mereka berdua itulah antara ribuan isteri solehah menjadi pemberi tenaga (energy giver) kepada suami dalam menghadapi ujian dalam kehidupan di dalam dan di luar rumah tangga.

Mereka sentiasa fokus kepada penyelesaian dengan mencari apakah jenisnya masalah itu, apa puncanya, apakah alternatif penyelesaiannya? Mereka berani menukar gaya berfikir dan mengubah gelombang perasaan untuk mendapat hasil yang berbeza. Justeru mereka faham jika kita tidak mengubah gaya berfikir dan berani menukar perasaan, masalah yang sama akan menjadi keluhan dan rintihan berulang-ulang tanpa kesudahan!

Bagaimana caranya untuk tetap positif walaupun mungkin reaksi pasangannya anda belum seperti yang diharapkan? Jawabnya, ada dua. Pertama, berilah alasan untuknya. Tidak kira samada alasan itu benar atau tidak tetapi andaikanlah alasan-alasan mengapa mereka berbuat demikian. Jika kita menghulur senyuman, tetapi disambut dengan masam muka… katakan mungkin mereka letih, sakit, tertekan atau sebagainya.

Sekalipun mungkin alasan itu tidak benar, tetapi sekurang-kurangnya kita tidak tersiksa memikirkan perkara-perkara yang negatif. Memikirkan yang negatif itu sahaja sudah satu penderitaan. Jadi ciptalah alasan-alasan untuk mereka dan semaikan sikap sangka baik sentiasa. Jangan kecewa dalam membuat kebaikan. Insya-Allah, Allah akan mengikut sangkaan para hamba-Nya.

Jika benar pasangan kita sudah curang, menipu dan jahat, maka kejahatan serta keburukan itu tidak akan menimpa kita. Sangka baik itu adalah peluang yang kita berikan untuk orang lain berubah dan jika mereka tetap tidak berubah seperti yang kita harapkan, itu tidak akan mengubah kita. Sangka baik itu adalah benteng yang akan menyelamatkan kita daripada penzaliman dan tipudaya orang lain.

Kedua, konsistenlah dalam berdoa. Doakan diri kita sendiri dan pasangan kita. Doa itu akan ‘menutralkan’ semula aura negatif yang menyelubungi dan memancar daripada diri kita. Bukankah dengan berdoa kita mengucapkan dan mengharapkan perkara yang baik-baik? Doa bukan sahaja memberi kesan positif dalam perhubungan kita dengan Allah tetapi jua perhubungan diri kita dengan diri kita sendiri. Kita akan selalu memberi ransangan yang positif kepada diri sendiri apabila kita berdoa.

Hukama ada berkata, terhalangnya kita daripada berdoa adalah lebih merbahaya daripada tidak makbulnya doa kita itu. Mengapa? Bila kita tidak berdoa, kita umpama insan negatif yang penuh racun atau ‘toxic’. Kata-kata kita racun, pemikiran kita racun dan perbuatan kita penuh racun. Racun itu bukan sahaja boleh memusnahkan orang lain tetapi ia juga akan memusnahkan diri kita sendiri.

Oleh itu, ayuh… berilah ransangan yang positif. Kuatkan kembali daya tarikan dalam cinta kita. Dan dalam menabur bibit kebaikan, jangan mengharapkan hasil yang segera, jangan dicemari racun prasangka dan paling penting jangan lupa untuk berdoa. Kembalikanlah daya tarikan dalam hubungan cinta. Bukankah simponi cinta itu indah? Tetapi jika tidak ada lagi keindahannya… tanyakanlah kepada diri kita, suami atau isteri kita… apakah itu masih cinta?

Sumber: http://genta-rasa.com/